Sindiket sijil vaksin palsu sabotaj usaha perangi Covid-19 - Utusan Malaysia

Sindiket sijil vaksin palsu sabotaj usaha perangi Covid-19

MASIDI Manjun (tengah) menyempurnakan simbolik pembukaan mata singa di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sindiket penjualan sijil digital vaksinasi Covid-19 akan sabotaj usaha kerajaan memerangi Covid-19 di negara ini.

Perbuatan individu yang ingin mendapatkan wang dengan cara menipu sebegitu akan memudaratkan keadaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan sebegini amat dikesali kerana negara sedang berhadapan dengan penyakit yang berbahaya.

Namun, masih ada orang terfikir ingin menipu bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Bagi saya perbuatan ini boleh dianggap tindakan sabotaj usaha memerangi Covid-19. Kadang-kadang kita lupa mungkin ada yang menjadi mangsa korban skim penipuan yang ingin mendapatkan keuntungan dengan cara mudah.

“Seruan saya kepada mereka, hentikan kerja-kerja yang akan merugikan rakyat Sabah dan negeri kita. Ada cara lain untuk mendapatkan wang bukannya dengan menipu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan kepala singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai sindiket penjualan vaksin digital Covid-19 yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Masidi berharap pihak polis akan mengambil tindakan bagi menyiasat perkara ini dengan sebaiknya.

Mengulas lanjut katanya, belum dapat dipastikan berapa jumlah sijil digital vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berharap sempadan negara dapat dibuka tidak lama lagi untuk membolehkan industri pelancongan Sabah kembali pulih.

Jelas beliau, varian Omicron dan Deltacron tidak dilihat akan menjejaskan pembukaan sempadan negara kerana rakyat perlu belajar untuk hidup dengan virus.

Malah, teknologi perubatan juga semakin canggih untuk antidot menjadikan Covid-19 sebagai selsema biasa.

Namun, apa yang penting masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN