Sila segera bunuh ikan ini jika terjumpa - Utusan Malaysia

Sila segera bunuh ikan ini jika terjumpa

TANGKAP layar infografik Jabatan Perikanan Malaysia mengenai ikan asing invasif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini turut menyaksikan ramai pemancing meraih ikan tertentu dibawa arus dari kolam ternakan atau hulu sungai.

Bagaimanapun ada spesies berkenaan merupakan ikan asing invasif yang amat berbahaya dan termasuk dalam senarai larangan diimport ke Malaysia kerana banyak implikasi buruknya.

Justeru, Jabatan Perikanan Malaysia memohon orang ramai agar peka sekiranya tertangkap atau terjumpa ikan tersebut dengan tidak menyimpannya atau dilepaskan ke perairan umum, sebaliknya, masyarakat diminta segera melupuskannya kerana adalah salah membela ikan larangan di bawah Akta Perikanan 1985.

Jabatan itu dalam hantaran di Facebooknya turut memuat naik infografik imej ikan berkenaan antaranya bawal merah atau pacu, salmon, trout, arapaima, sturgeon, flower horn, silver dollar, northern pike, dragon fish dan ikan buaya.

Tidak ketinggalan ialah enam jenis piranha dari baka Serrasalmus, Serrasalmo, Pygocentrus, Catoprian, Pygopristis dan Pristobrycon serta udang galah dikenali common yabby atau Cherax.

Mengulas lanjut, jabatan itu berkata, jika sabit kesalahan mengikut Peraturan Perikanan (Pindaan 2011), si pelakunya boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam tahun.

“Spesies akuatik asing berbahaya merupakan isu global kerana merentas sempadan dan boleh mengakibatkan impak negatif kepada negara di peringkat serantau,” tegas agensi berkenaan.

Ikan itu berupaya memusnah dan mengubah ekosistem yang dicerobohinya sehingga menyebabkan kepupusan spesies tempatan serta menggugat jaminan keselamatan makanan domestik.

Ia mengancam kemandirian sumber biodiversiti dan kos kerugian tinggi akibat berlaku kemerosotan sumber akuatik asli disebabkan kemasukan patogen eksotik oleh spesies asing.

Ikan luar invasif jelasnya, berpotensi menyebabkan kemudaratan ekosistem, kepelbagaian biologi asli, kesihatan ikan tempatan dan manusia sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Malah tambah jabatan tersebut, apa-apa jenis ikan asing yang ingin dibawa masuk ke negara ini sebenarnya perlu mendapat kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan difahamkan, ikan berkenaan sengaja dipelihara secara haram oleh penggemar hidupan marin kerana ia bukan pun haiwan semula jadi negara ini dan kemungkinan besar diseludup dari luar.

Bagaimanapun, mereka kemudian cuba melepaskan ikan asing itu ke kawasan tasik, sungai atau parit apabila tidak mahu lagi memelihara spesies itu atas faktor kos makanan yang mahal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya