Shidee akui lemah bab lirik, Ani Mayuni hargai ilmu ‘mahal’ - Utusan Malaysia

Shidee akui lemah bab lirik, Ani Mayuni hargai ilmu ‘mahal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Tersingkir dan gagal mara ke pentas akhir pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Shidee dan Ani Mayuni bagaimanapun akur dengan keputusan juri yang disifatkan profesional dan adil.

Menurut Shidee atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab, dia menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak juri sementelah turut mengaku ada kesilapan sendiri ketika membuat persembahan ketika bertanding di pentas separuh akhir malam semalam.

“Bab lirik lagu, memang saya ini agak susah cepat tangkap. Saya akui itu kelemahan diri. Tak mudah untuk kita menjiwai sesebuah lagu itu dengan baik sewaktu bertanding kerana umum tahu, masa untuk membuat persediaan latihan agak singkat.

“Kalau ditanya sama ada saya berharap atau tidak ke pentas akhir, tentulah ada. Tetapi dalam masa yang sama mengaku kelemahan diri bab mengingati lirik, timbul juga rasa keraguan.

“Saya tak akan pertikaikan keputusan juri kerana bagi saya, mereka sangat adil,”katanya.

Shidee berkata demikian semasa ditemui selepas program tersebut berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam.

Selain itu, kata penyanyi lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat ini, kegagalan di V8 bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya seni selain merancang untuk menghasilkan sebuah single sebagai hadiah untuk menghargai peminat.

“Orang pun dah semakin ramai yang mengenali saya semula, jadi saya fikir akan hasilkan sebuah single baru kelak. Selain itu, macam biasa, sesiapa yang mahu berjumpa atau rindu nak dengar saya menyanyi, boleh datang ke Restoran D’Empangan Udang Galah Putrajaya.

“Di situ, saya terlibat mengadakan persembahan tiga kali seminggu untuk pengunjung yang datang,”katanya.

Sementara itu, Ani Mayuni pula mengaku telah lama bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan pada setiap minggu seandainya dia diumumkan sebagai peserta tersingkir.

Kata Ani, dia tidak terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi meski sedar saban minggu disebut-sebut sebagai calon peserta ‘underdog’.

“Kita kena terima hakikat bahawa ini adalah sebuah pertandingan. Jadi setiap minggu saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Bukan sebab takut kalah atau tak yakin, tapi kena faham bahawa adakala bila latihan dan live keadaan boleh jadi berbeza,”katanya.

Selain itu, pulang dengan senyuman, dia juga menganggap sepanjang bergelar peserta GV8, banyak pengalaman dan ilmu yang diraih selain menyifatkan ia sangat mahal dan tidak ternilai.

“Selama 26 tahun dalam industri dan nak dibandingkan dengan sembilan minggu berada dalam program ini, saya rasa, begitu banyak ilmu berharga yang diraih sepanjang minggu-minggu itu.

“Saya tahu ia satu tempoh yang sangat kompak. Tetapi, bayangkan, orang yang masuk universiti pun perlu habiskan masa tiga atau lima tahun untuk dapatkan ilmu. Boleh juga dikaitkan dengan situasi ini, saya belajar banyak benda sepanjang berada di GV8.

“Era sekarang ini, berbeza. Kalau nak jadi bagus, kita pun kenalah naik taraf diri. Bidang kreativiti dan seni juga begitu,”katanya.

Dalam pada itu, kata Ani, dia juga sama seperti Shidee, merancang untuk mengeluarkan sebuah single baru genre dangdut tidak lama lagi bagi mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaru daripadanya.

Katanya, hasrat itu sudah lama tertangguh dan usai tamat perjuangannya di GV8, ini adalah masa yang sesuai untuk hadir dengan single baru tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN