Senoi Praaq bantu cari Kamaliah, hilang sejak Khamis lalu - Utusan Malaysia

Senoi Praaq bantu cari Kamaliah, hilang sejak Khamis lalu

OPERASI mencari kanak-kanak perempuan Orang Asli yang dilaporkan hilang di Gerik. - UTUSAN/IHSAN PGA BIDOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Operasi mencari kanak-kanak Orang Asli, Kamaliah Anab yang hilang dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri dekat sini sejak Khamis lalu, disertai 12 pegawai dan anggota Unit Senoi Praaq.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Azhar Hashim berkata, anggota unit pakar penjejak hutan itu masuk ke lokasi pencarian sejak Ahad lalu iaitu pada hari ketiga operasi mencari kanak-kanak tersebut.

Katanya, fokus pencarian dimulakan di kawasan hutan berdekatan khususnya di lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Penglibatan anggota Senoi Praaq yang lebih mahir di hutan ini bagi membantu agensi penyelamat lain termasuk polis dan bomba untuk menjejak kanak-kanak itu yang telah hilang hampir seminggu.

“Kita akan menggunakan kemahiran di hutan untuk mencari kanak-kanak itu seperti melihat kesan-kesan pada tanah atau pokok-pokok yang boleh memberi petunjuk keberadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, penugasan Batalion 3 PGA Bidor itu juga sentiasa menerima arahan tugas dan taklimat daripada Ketua Polis Daerah Gerik dalam memastikan penugasan berjalan lancar.

“Anggota akan berada di sana sehingga operasi selesai. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan komander operasi, sama ada misi pencarian itu akan diteruskan atau ditamatkan.

“Setakat ini, kita masih belum menjumpai bukti fizikal atau petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pencarian kanak-kanak itu diperluaskan lagi dengan tambahan jarak lapan kilometer (km) berbanding 15km semalam.

“Operasi kali ini juga membabitkan penggunaan dron daripada agensi luar bagi membuat pemantauan udara di kawasan pencarian mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Kamaliah, 10, kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan seluar biru ketika dia mengikuti keluarganya mencari hasil rotan di kawasan Hutan Temengor dekat sini, Khamis lalu.

Kehilangan mangsa disedari sekitar pukul 4.30 petang sebaik sahaja keluarganya dan penduduk lain tiba di kampung selepas mencari hasil rotan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN