Teater lesu tanpa bantuan dana pementasan

Teater lesu tanpa bantuan dana pementasan

GIBRAN beraksi dalam satu babak pementasan teater.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua cabang seni lakonan iaitu pementasan teater dan dunia perfileman sangat sinonim dengan industri hiburan di Malaysia. Setiap daripada cabang tersebut mempunyai peminat dan penontonnya yang tersendiri.

Namun, untuk menghasilkan sesebuah karya filem dan teater yang berkualiti itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah lebih-lebih lagi apabila melibatkan banyak idea, pendapat, kerjasama, teknikal dan sebagainya.

Bagi pelakon yang pernah menembusi dunia perfileman di kaca televisyen dan pentas teater, Gibran Agi Abdul Ghafar, 53, berkongsi tentang cabaran dalam menjayakan kedua-dua cabang tersebut.

Beliau berkata, cabaran dalam melakukan seni lakonan filem dan pementasan teater adalah berbeza dan bergantung kepada setiap individu.

Meski pun industri pementasan teater tanah air mempunyai bakat-bakat pelakon namun beliau masih berharap akan ada nafas baharu membantu perkembangannya.

Menurut Gibran, satu inisiatif penting bagi menjamin pementasan teater terus berkembang subur adalah dengan penglibatan syarikat swasta yang boleh membantu dari segi pendanaan bagi membiayai kos pementasan.

Ini kerana pementasan teater bukan murah terutama membayar kos pementasan, pembayaran pelakon dan kos pembinaan props.

“Syarikat ini boleh melabur dalam pementasan bagi mengurangkan beban pasukan produksi, “ ujarnya.

Gibran berkata, setakat ini penganjur atau penggiat bergantung kepada penggiat Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang diwujudkan bagi menyediakan sokongan dan bantuan kewangan penggiat dan penganjur kegiatan seni ditawarkan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC). Atas hasrat yang sama skim Potongan Cukai Penajaan (PCP) juga dalam usaha untuk membangunkan kesenian, kebudayaan dan warisan

Kerajaan melalui Belanjawan 2020 telah meningkatkan had potongan cukai sehingga RM1 juta bagi satu tahun taksiran yang bertujuan mengga­lakkan tajaan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan dan/atau warisan melalui Potongan Cukai, Penajaan Aktiviti Kesenian, Kebudayaan dan/atau Warisan.

Penajaan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan atau warisan yang layak adalah bagi program yang dianjurkan oleh pihak kementerian, jabatan/agensi kerajaan, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Aktiviti kesenian, kebudayaan atau warisan yang ditaja hendaklah mendapat kelulusan kementerian terbabit bagi melayakkan potongan di bawah perenggan 34(6)(k) ACP1967.

Maka dengan kemudahan tersebut tidak ada sebab mengapa syarikat tempatan tidak membantu penggiat seni pementasan tanah air.

Gibran Agi melibatkan diri dalam dunia teater pada usia muda sebelum menghilangkan diri untuk satu jangka masa agak lama. Pada awal kemunculannya, beliau pernah memenangi anugerah

Pelakon Lelaki Terbaik dalam Pesta Seni Pentas dan Pekan Teater Kebangsaan (Wilayah Persekutuan), selain terlibat sebagai penulis, pengarah atau pelakon di dalam pementasan-pementasan seperti Dejavu?, Utopia?, Grotesque, Opera Ayu Cendana dan Mambo Horse.

Selain merupakan seorang peguam, Gibran turut memiliki Magicdreams Media Sdn. Bhd., syarikat yang terlibat dalam produksi seni. Walaupun sekarang tidak menjadi seorang aktivitis teater, beliau adalah peminat dan pemerhati seni yang tegar.

Menurut Gibran, ada yang merasakan lakonan filem lebih sukar, ada pula yang mengatakan lakonan di pentas teater lebih sukar, tetapi kedua-dua seni lakonan itu sama-sama susah dan mempunyai cabarannya tersendiri.

Katanya lagi, jika hendak dibandingkan, teater adalah satu persembahan yang dijalankan secara langsung dan tiada henti manakala seni lakon filem bersifat ‘non-linear’ serta tidak mengikut kronologi.

Oleh itu, cara pembawakan watak sedikit sebanyak akan terganggu dari segi emosi, penghayatan dan sebagainya.

Dari segi penghayatan pula, baginya adalah sukar untuk kekal konsisten menjiwai watak dalam menjayakan lakonannya dalam filem.

Ini kerana kebiasaannya babak di set penggambaran dilakonkan tidak mengikut urutan dan penghayatan untuk setiap babak itu berbeza-beza, terutama sekali babak yang melibatkan air mata.

“Saya rasa macam susah kerana kalau ada babak sedih, perlu menangis secara tiba-tiba. Perlu hayati dengan lebih dalam bagi memastikan karakter itu masuk ke dalam diri,” jelasnya.

Selain itu, dalam dunia hiburan yang semakin dipacu oleh teknologi dan populariti media sosial, aktivis teater kekal teguh berdiri sebagai pelindung warisan seni yang penuh nilai, jujur dan hidup.

Mereka bukan sekadar penggerak di sebalik tabir, tetapi individu yang berjuang memastikan teater terus bernafas dalam ruang dan budaya masyarakat. Aktivis teater merangkumi pengarah, pelakon, penulis skrip, pengurus produksi hinggalah kepada tenaga belakang tabir seperti pencahayaan dan rekaan pentas. Mereka berjuang bukan kerana kemewahan atau glamor, tetapi kerana cinta yang mendalam terhadap seni persembahan.

Kebanyakan daripada mereka berkorban masa, tenaga dan kadangkala wang sendiri demi memastikan sesebuah produksi dapat direalisasikan.

Teater, bagi aktivis ini, bukan sekadar persembahan. Ia adalah bentuk perjuangan bagi suara yang terpinggir, menyuarakan isu yang dibisukan, dan mengangkat kisah-kisah yang jarang diberi ruang dalam arus perdana.

Gibran berkata, dia tidak layak untuk dipanggil aktivis teater kerana dirinya hanyalah peminat teater yang kadang kalanya terlibat dalam pementasan teater.

Gibran yang sebelum ini membuat kemunculan di pentas teater Di Sebalik Topeng arahan Fauziah Ahmad Daud berkata, untuk menjadi aktivis teater, mereka perlu konsisten dengan usaha menjayakan teater tersebut.

Mengambil contoh pelakon Zaidi Omar dan Kamarul A.R, Gibran menyifatkan kedua-dua mereka itu adalah aktivis teater yang sangat beliau hormati dan perlu diberi penghargaan.

“Bagi saya Zaidi itu aktivis kerana beliau sering berkarya tanpa henti, begitu juga Kamarul A.R. Kita perlu menghormati mereka.

“Kadang-kala mereka tidak mendapat apa-apa pengiktirafan dan tidak begitu dihormati. Bagi saya perkara ini jarang diceritakan kepada dunia luar,” katanya.

Dalam pada itu, Gibran bakal membuat pementasan teater bertajuk Katarsis? yang bakal diadakan September ini.

Teater tersebut bakal dijalankan di beberapa universiti tempatan menampilkan dirinya sebagai antara pelakon utama.

Mengulas mengenai kebolehan seseorang itu untuk menjadi pelakon, Gibran berkata, semua orang mempunyai kebolehan berlakon namun yang membezakannya adalah mampu menjadi pelakon yang bagus ataupun tidak.

“Kalau hendak berlakon sebenarnya boleh belajar. Perkara paling penting adalah mereka mempunyai pemahaman asas terhadap dunia lakonan,” terangnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN