Tiga Utusan Melayu dalam sejarah persuratkhabaran

Tiga Utusan Melayu dalam sejarah persuratkhabaran

Utusan Melayu yang ketiga itu diterbitkan pada 1939 oleh syarikat Utusan Melayu Pte Ltd (Sdn. Bhd). Syarikat ini ditubuhkan pada 29 Mei 1938 yang kini ulang tahunnya disambut sebagai Hari Wartawan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terdapat tiga akhbar Utusan Melayu dalam sejarah persuratkabaran. Yang paling awal terbit di Padang, Sumatera pada tahun 1910 ketika itu ia berada dalam tanah jajahan Hindia Timur Belanda.

Kedua-dua Utusan Melayu diterbitkan di Singapura pada 1920-an dan 1930-an ketika pulau itu merupakan pusat pentadbiran British Malaya. Utusan Melayu kedua itu tidak bertahan lama.

Utusan Melayu yang ketiga itu diterbitkan pada 1939 oleh syarikat Utusan Melayu Pte Ltd (Sdn. Bhd). Syarikat ini ditubuhkan pada 29 Mei 1938 yang kini ulang tahunnya disambut sebagai Hari

Wartawan Nasional (Hawana). Utusan Melayu juga diraikan dalam bentuk nama Jalan Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Kedua-dua Utusan Melayu yang terbit di Singapura bertulisan jawi tetapi Utusan Melayu yang terbit di Padang itu menggunakan abjad rumi dengan ejaan lama yang digunakan di Hindia Timur ketika itu.

Maka Utusan Melayu itu dieja ‘Oetoesan Melaju’. Huruf ‘u’ menggunakan ‘oe’ dan ‘y’ adalah ‘j’ mengikut gaya bahasa Belanda. Perlu diingat ketika itu Hindia Timur sudah menggunakan tulisan rumi lebih awal daripada di Tanah Melayu dan Singapura.

Bahasa Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 belum luas digunakan di Hindia Timur. Penduduk Hindia Timur menggunakan bahasa suku kaum masing-masing. Bahasa Melayu hanya luas digunakan di Sumatera Tengah dan Sumatera Selatan, itupun di negeri-negeri yang ada Kesultanan Melayu.

Tetapi di Jawa yang mempunyai penduduk Hindia Timur terbesar menggunakan bahasa Jawa yang terdapat pelbagai jenis lapis dan daerah. Keadaan kompleks bahasa Jawa menyukarkannya untuk dijadikan bahasa lingua franca bagi semua suku kaum.

Sungguhpun begitu, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantara dalam kalangan para pedagang dan saudagar yang belayar dan berniaga di seluruh kepulauan, dari Aceh di Timur hinggalah ke Sulawesi dan Maluku di Barat.

Bahasa Melayu bersifat ringkas dengan nahunya mudah membolehkan ia senang difahami.

Di kota-kota besar Jawa seperti di Betawi (Batavia dan kini bernama Jakarta), Semarang dan Surabaya yang merupakan kota-kota pelabuhan, bahasa Melayu luas digunakan kerana terdapat para pedagang.

Masyarakat kolonial Belanda terbahagi kepada tiga kelas. Paling atas ialah orang kulit putih khususnya orang Belanda. Di tengah ialah para peniaga dan pedagang yang kebanyakan orang Cina, dan ada juga Arab. Mereka inilah yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Kedudukan mereka diukur dengan kekayaan dan harta. Paling bawah ialah pribumi atau bumiputera, iaitu orang kebanyakan yang bertutur dalam bahasa suku kaum mereka.

Tetapi dalam kalangan mereka, ada yang berkedudukan tinggi seperti bangsawan dan penghulu yang menjadi perantara kepada pihak Belanda.

Untuk memudahkan pentadbiran kolonial, Belanda memerlukan satu bahasa yang boleh difahami oleh semua penduduk. Perintah-perintah kerajaan boleh ditulis dalam bahasa ini dan difahami oleh rakyat.

Walaupun bahasa Belanda adalah bahasa rasmi kerajaan tetapi bahasa ini perlu diasingkan daripada orang kebanyakan untuk mempertahankan status kelas dan penguasaan Belanda ke atas masyarakat.

Bahasa Belanda dijadikan bahasa ilmu yang hanya boleh dipelajari oleh orang Belanda dan orang yang berpendidikan tinggi dalam kalangan putera bangsawan dan penghulu.

Bahasa Belanda juga sukar dipelajari berbanding bahasa Melayu. Maka pentadbir Belanda menggalakkan perkembangan bahasa Melayu. Untuk itu selain ia diajar di sekolah, kesusasteraan dan persuratkabaran bahasa Melayu digalakkan.

Di Semarang, Jawa pada awal abad ke-20 sudah mempunyai akhbar bahasa Belanda dan bahasa Jawa. Apabila ada pengusaha hendak menerbitkan sebuah akhbar berbahasa Melayu bernama

Selompret Melayu, pentadbir kolonial mengalu-alukannya.

Selompret bermaksud trompet. Ini kerana ia boleh menjadi penghubung ketiga-tiga lapisan masyarakat, baik dalam kalangan pihak Belanda, para peniaga Cina dan Arab serta juga pribumi Jawa.

Pada 1928, sekumpulan pemuda mengadakan kongres di Betawi dengan mengisytiharkan bahawa Hindia Timur sebagai tanah air mereka yang dinamakan Indonesia.

Penduduk Hindia Timur diisytiharkan sebagai Bangsa Indonesia dan bahasa Melayu dijadikan Bahasa Indonesia. Maka bahasa Melayu menjadi bahasa kesaksamaan warga negara republik.

Semarang adalah kota pelabuhan dan perdagangan yang mempunyai komuniti Cina. Pada sekitar penghujung abad ke-19, ada seorang ahli komuniti itu yang lahir di Semarang telah berhijrah ke Singapura. Pada 16 September 1923, anaknya, Lee Kuan Yew lahir di Kampong Java Road.

Sebagai peguam muda, Lee Kuan Yew sering berkunjung ke pejabat Utusan Melayu di Singapura. Beliau menjadi peguam untuk pekerja-pekerja Utusan Melayu dalam menuntut kenaikan gaji dan keadaan pekerjaan yang lebih baik.

Dalam urusannya itu, beliau berkenalan rapat dengan Yusof Ishak, pengasas, pengarah urusan dan ketua pengarang Utusan Melayu. Tetapi lebih rapat lagi ialah persahabatannya dengan wartawan kanan Utusan Melayu, A Samad Ismail. Mereka berkongsi fahaman politik dan bersama rakan lain menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (Petir atau PAP).

Persahabatan keduanya tidak bertahan lama. Tetapi hubungan Lee Kuan Yew dengan Yusuf Ishak dan adiknya Rahim Ishak adalah lebih lama lagi.
Yusof Ishak menjadi Yang Dipertuan Negara Singapura dan kemudiannya adalah presiden pertama republik itu. Rahim Ishak yang juga bekas wartawan Utusan Melayu menjadi anggota Kabinet Lee.

Seorang lagi saudaranya, Aziz Ishak menjadi Menteri Pertanian Malaya. Setelah berbalah dengan Tunku Abdul Rahman, beliau keluar UMNO dan menubuhkan National Convention Party yang kemudian menyertai gabungan Front Sosialis Rakyat Malaya bersama Parti Buruh dan Parti Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN