PASIR MAS: Seorang ibu dua anak hilang secara misteri sejak seminggu lalu di Stesen Kereta Api Pasir Mas sebelum ditemukan semula dalam kebingungan di Lubok Jong di sini semalam.
Noor Amira Mohamed, 24, yang dilaporkan hilang tanpa jejak ketika turun di stesen tersebut sejak 12 Januari lalu ditemukan dalam keadaan letih dan lesu kira-kira pukul 10 malam tadi.
Suaminya, Lokman Hakim Azizi, 26, berkata, pada 11 Januari, Noor Amira menaiki kereta api dari Kuala Lipis untuk pulang ke Rantau Panjang kerana mahu menjaga ibunya yang jatuh sakit.
“Bagaimanapun, pada pukul 10 pagi keesokan harinya, saya terputus hubungan dengan isteri apabila panggilan telefon tidak dijawab, malah mesej melalui WhatsApp juga tidak berbalas.
“Dia sepatutnya turun di Stesen Pasir Mas pagi 12 Januari tetapi hilang tanpa jejak dan selepas 24 jam hilang, ibu mentua saya membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Lokman Hakim berkata, sebaik sahaja tiba di Stesen Pasir Mas, ada individu mendakwa ternampak isterinya duduk termenung di bangku sebelum disapa pemandu kereta sewa yang kemudian membawa dia pergi.
“Bimbang keselamatan isteri, saya terus berkongsi berita kehilangannya menerusi laman sosial Facebook dengan harapan dia ditemukan segera. Kami mencarinya di seluruh Kelantan dan Terengganu.
“Pencarian isteri berakhir apabila saya dihubungi pihak polis yang memberitahu dia sudah ditemukan malam tadi oleh orang awam di Lubok Jong namun tidak dapat menjelaskan ke mana dia pergi.
“Buat masa ini, saya memberi ruang kepada isteri untuk berehat dan bertenang sebelum menunggu masa yang sesuai untuk bertanya ke mana dia menghilang,” katanya.










