ALOR SETAR: Seramai sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian di sekitar negeri ini dan Pulau Pinang pada Khamis lalu.
Serbuan yang dilakukan pada pukul 1.15 petang itu berjaya menahan individu tersebut di beberapa lokasi dengan kerjasama Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang berusia 19 hingga 51 tahun itu melibatkan dua kumpulan sindiket iaitu Kumpulan Melayu Yong dan Kumpulan India Yong.
“Polis masih memburu dua lagi lelaki berumur 38 dan 41 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam sindiket ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes penipuan dalam talian dengan anggaran kerugian lebih RM150,000.
Tambahnya, polis percaya lebih banyak kes akan dapat diselesaikan sekiranya dua individu yang diburu itu berjaya ditahan.
“Selain itu, polis turut merampas dua komputer riba, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kenderaan pelbagai jenis, 18 buku catatan, empat dokumen, tiga kad kredit, satu bag dan wang tunai sebanyak RM14,100,” jelasnya.
Menurutnya, sembilan suspek yang ditahan itu didapati mempunyai lima laporan dalam rekod Sistem Pengurusan Rekod Jenayah (SPRJ).
Wan Hassan memberitahu, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut
Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman sehingga 25 Januari dan akan disambung hingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.