Konsep nyaman, praktikal untuk si kecil

Konsep nyaman, praktikal untuk si kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berinspirasikan gaya moden minimalis yang mengutamakan warna natural dan susun atur praktikal, kediaman Amira Nazuha Abdul Razak ini menampilkan gabungan harmoni antara estetik dan fungsi, terutama buat anak-anak kecil yang aktif serta suka meneroka.

Kediaman seluas 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta dapur terbuka ini kelihatan sangat lapang dan nyaman buat keluarga kecil.

Walaupun ruangnya sederhana, pemilihan perabot yang dibuat dengan teliti dan susun atur sempurna menjadikan setiap sudut terasa luas dan hidup.

“Konsep rumah ini adalah moden minimalis dengan elemen hitam dan kayu seperti kerusi rotan plastik, karpet berwarna rotan dan cat dinding natural.

“Ia menyuntik suasana kemas, tetapi masih nyaman dan selesa,” katanya kepada Seri.

Pemilihan palet warna yang lembut dan neutral terutama cat dinding rona sandstone mewujudkan pemandangan bersih dan lapang.

Tidak keterlaluan tetapi tetap bergaya.

Pemilihan langsir putih membenarkan cahaya semula jadi membanjiri ruang tamu, memberikan ilusi ruang yang lebih besar dan menyuntik elemen segar.

Warna putih itu mengekalkan konsep ringkas dan serasi dengan perabot sekeliling.

Selain itu, dinding utama pula dihiasi tiga cermin berbingkai emas yang berlatarkan warna sandstone, bersebelahan dengan map of the world di ruang makan yang mengimbangi konsep moden dan minimalis.

“Saya sukakan warna-warna semula jadi yang menenangkan. Ia mudah dipadankan dengan aksesori tambahan.

“Malah, susun atur yang ringkas menjadikan rumah yang sederhana besar ini terasa luas dan tenang,” katanya.

SUSUN ATUR
Memahami keperluan anak-anak kecil yang aktif, wanita berusia 27 tahun ini memilih perabot yang minimalis dan praktikal.

Elemen rona hitam dan tekstur rotan pada kebanyakan perabot bukan sahaja estetik tetapi juga mudah diselenggarakan.

“Rumah kami tidaklah besar, jadi ruang terbuka yang lapang sangat penting supaya anak-anak bebas bermain tanpa perlu risau tentang kekemasan setiap masa,” ujarnya.

Susun atur yang minimal membantu memudahkan kerja harian sambil mengekalkan rumah yang sentiasa nampak teratur.

Amira Nazuha banyak merujuk inspirasi daripada rakan-rakan komuniti dekorasi kediaman di Instagram, selain bijak memanfaatkan perabot yang sudah dimiliki.

Hasilnya ialah sebuah kediaman yang mesra poket, tetapi tetap bergaya dan selesa untuk didiami.

Perancangan yang teliti, pemilihan warna yang tepat dan susun atur praktikal mampu mengubah ruang sederhana menjadi tempat tinggal yang indah dan menyenangkan.

Lebih penting, ia memberi ruang yang selamat dan menyeronokkan untuk si kecil meneroka dunia mereka tanpa mengorbankan gaya dan ketenangan buat si ibu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×