Selepas Pas, Pejuang Muda minta Azam direhatkan - Utusan Malaysia

Selepas Pas, Pejuang Muda minta Azam direhatkan

DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Selepas Pas, kini giliran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda pula mendesak agar Tan Sri Azam Baki direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga siasatan yang perlu dilakukan oleh sebuah badan bebas siasatan selesai dilakukan. 

Ketua Pejuang Muda, Dr. Abu Hafiz Salleh Huddin berkata, malah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang wajar dibubarkan serta-merta kerana dilihat gagal bertindak secara profesional, kurang cekap dan memihak kepada pihak tertentu.

Katanya, tuduhan salah guna kuasa dan kekayaan luar biasa melibatkan orang nombor satu SPRM itu telah lama tular sehingga menjadi menarik perhatian awam apabila wujud satu akaun Twitter mendedahkan pelbagai bukti bertulis skandal tersebut.

“Setelah hal tersebut gagal ditangani dengan serius oleh pihak pengurusan eksekutif dan bukan eksekutif dalam SPRM, Prof. Dr. Edmund Terence Gomez yang merupakan Ahli Panel Perundingan SPRM telah meletakkan jawatan kerana kecewa kegagalan Pengerusi Panel SPRM, Tan Sri Borhan Dolah bertindak atas laporan dan cadangan beliau untuk menangani skandal melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut.

“Atas tindakan itu, dilaporkan bahawa LPPR telah memanggil Azam bersama ahli-ahli LPPR yang lain untuk mendapatkan penjelasan. Namun dalam sidang media SPRM pada Rabu lalu, Pengerusi LPPR menyatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung skandal didedahkan sungguhpun penjelasan itu sekadar menyalahkan adik beliau semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abu Hafiz lagi, perkembangan itu secara langsung telah menggemparkan negara dan pihaknya mengingatkan LPPR supaya bertindak profesional dan jangan merendahkan nilai intelektual masyarakat Malaysia dengan kualiti penjelasan diberikan Azam.

Katanya, kegagalan pentadbiran SPRM untuk bertindak dengan moral yang tinggi membuatkan badan pencegahan rasuah itu hilang integriti, kepercayaan dan hancurnya kredibiliti mereka dalam memerangi rasuah. 

“Alasan dan skrip yang hampir serupa diberikan dan digunakan sewaktu skandal 1MDB meletus amat mendukacitakan,” katanya.

Beliau mempersoalkan dan kesal dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila kekal bisu dan mengunci mulut berkenaan skandal yang menggemparkan itu.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya