Selangor Pistons latih 'ubi muda' demi negara - Utusan Malaysia

Selangor Pistons latih ‘ubi muda’ demi negara

TEKONG tinggi lampai, Haziq Hairul Nizam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Ubi-ubi muda’ yang dilahirkan dan dibentuk Selangor Pistons bukan sekadar untuk berkhidmat bersama skuad Lembah Klang itu semata-mata, tetapi mereka juga dipersiapkan demi masa depan sukan sepak takraw negara.

Jurulatih Selangor Pistons, Ridhuwan Abdul Manaf ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlawanan menentang Bomba Fighters berkata, buat masa ini, nama tiga pemain Selangor Pistons telahpun berada dalam senarai skuad kebangsaan yang kini sedang mencari barisan terbaik bagi persiapan menjelang Sukan SEA di Vietnam pada Mei depan.

“Saya difahamkan dua tekong muda kami Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Zuhri Muhammad Zain serta apit kiri berpengalaman, Farhan Adam, nama mereka kini berada dalam senarai skuad kebangsaan.

“Kelebihan yang dimiliki Selangor ialah berjaya melahirkan dua pemain tinggi lampai Haziq dan Zuhri. Mereka bukan untuk Selangor sahaja, tetapi juga dipersiapkan buat negara,” katanya di sini, kelmarin.

Menurut Ridhuwan, ketinggian yang melepasi 1.90 meter (m) jarang sekali dimiliki atlet negara terutama dalam sukan sepak takraw.

Justeru, jelasnya, apabila ada pemain yang berkelebihan fizikal seperti Haziq dan Zuhri, bakat mereka perlu digilap sebaik mungkin dan tanggungjawab itu perlu digalas Selangor Pistons.

“Selain Haziq dan Zuhri, ketua pasukan, Farhan juga seorang apit kiri yang berkualiti.

“Dia memiliki pertahanan yang cukup ampuh dan menjadi nadi kepada Selangor, maka, tidak hairan Farhan sekali lagi meraih tumpuan pelatih kebangsaan.

“Apa yang boleh saya nyatakan di sini pemain-pemain ini berpotensi untuk melangkah jauh. Dengan bimbingan Selangor Pistons, pemain-pemain ini akan kami bentuk buat skuad kebangsaan,” ujarnya.

Selangor Pistons yang menyenaraikan rata-rata pemain muda untuk beraksi dalam saingan Liga Premier pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan bagi mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan yang berlangsung sehingga Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya