SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan peruntukan segera lebih RM40 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan pembersihan di kawasan yang terjejas akibat banjir, bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tersebut diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9.18 juta diluluskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi kerja pengukuhan dan pembinaan ban sungai, penambahan sistem amaran banjir di kawasan titik panas, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pembelian set penghidup mudah alih (genset).
“Sebanyak RM31.7 juta pula diluluskan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun dan tebing jalan,” katanya semasa sidang akhbar khas pemulihan pasca banjir Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Sementara itu menurutnya, setakat 4 Januari lalu, sebanyak 908 unit rumah di daerah lapan buah daerah, iaitu 876 yang perlu dibaik pulih dan 32 perlu dibina semula.
Amirudin berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail akan dipertanggungjawabkan bagi meneliti apa jenis bantuan lagi yang diperlukan oleh setiap mangsa banjir.
“Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan melaksanakan kerja pembinaan semula rumah yang hanyut.
“Sementara itu, sebanyak 1,407 pencawang elektrik telah berjaya TNB pulihkan, manakala 367 menara komunikasi berjaya dibaiki,” jelasnya.










