KOTA KINABALU: Selepas setahun menunggu jawapan daripada Kementerian Pendidikan bagi pembinaan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, permintaan itu dikemukakan selagi lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kementerian itu perlu segera meluluskan cadangan pembinaan asrama sekolah tersebut yang sudah tertangguh sekian lama.
Beliau berkata, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah telah menghantar surat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan surat itu telah dimajukan kepada Kementerian Pendidikan.
Walau bagaimanapun, sehingga kini mereka masih belum menerima maklum balas selepas setahun permohonan itu dikemukakan.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kebanyakan pelajar datang dari kampung terpencil dan keluarga berpendapatan rendah.
“Asrama ini hanya menunggu persetujuan kementerian untuk memulakan pembinaan dan ia mampu menempatkan seramai 80 orang pelajar,” katanya semasa mengagihkan bungkusan makanan kepada penduduk dan pelajar di Kampung Ranap, Kiulu semalam.
Menurutnya, pada masa ini pelajar yang tinggal jauh dari sekolah terpaksa menyewa bilik daripada orang kampung bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu berkata, kerajaan mesti memainkan peranan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar di luar bandar.
Beliau turut menasihatkan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan agar belajar bersungguh-sungguh biarpun mereka datang daripada keluarga yang susah.
“Kerja keras adalah kunci kejayaan dan kita harus fokus kepada pelajaran untuk membanggakan keluarga.
“Melihat betapa gigihnya ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak, kita harus menghargai pengorbanan mereka dan membalas jasa mereka suatu hari nanti,” katanya.










