PUTRAJAYA: “Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki apa-apa kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Itu penjelasan diberikan Azam berhubung dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu.
Azam hari ini tampil memberi penjelasan panjang lebar mengenai perkara itu pada sidang akhbar khas dikendalikan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di sini, hari ini.
Jelas Azam, tuduhan kononnya terdapat ‘conflict of interest‘ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas sama sekali.
Beliau berkata, perkara itu sudah beliau jelaskan kepada Panel LPPR bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu.
“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
“Bagaimanapun, saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau (Nasir) kemudiannya.
“Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham. Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Berhubung tuduhan bahawa beliau mengawal banyak syarikat, Azam berkata, dakwaan itu adalah satu persepsi negatif dan menggambarkan seolah-olah beliau mengawal satu konglomerat yang besar.
Menurutnya, dakwaan itu dilihat seperti mahu menjatuhkan reputasinya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan institusi SPRM itu sendiri dan ia satu perbuatan yang berniat jahat.
Katanya, beliau sudah mendapatkan nasihat peguam dan memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasinya dan juga SPRM.
Azam berkata, beliau akui ada usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM dan menjadikan dirinya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.
“Kita telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka malah, mereka telah menggunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM,” katanya.
Ditanya sama ada serangan demi serangan diterimanya kini ada kaitan dengan kluster-kluster mahkamah dan kenamaan yang dikaitkan dengan rasuah, Azam berkata, ia kemungkinan betul atau tidak.
“Dalam kita menangkap orang berkaitan rasuah samada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak.
“Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya,” katanya.