SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan kerja pembersihan kawasan yang kotor akibat banjir di seluruh negeri pada akhir bulan ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fasa pertama kerja pembersihan masih lagi berlangsung dan dijangka selesai pada 14 Januari ini.
“Sehingga kini, sejumlah 77,000 tan sampah yang berjaya dikutip, iaitu 47,000 tan oleh KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) dan 30,000 tan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak lain.
“Fasa kedua pembersihan akan melibatkan pembersihan kawasan yang belum dilakukan seperti di longkang, lorong belakang rumah dan lain-lain kawasan,” katanya semasa sidang akhbar khas pemulihan pasca banjir Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Minggu lalu, Amirudin memaklumkan KDEBWM membelanjakan sebanyak RM6.03 juta bagi tujuan mengutip sampah termasuk pukal dan domestik dalam fasa pasca ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan peruntukan RM396 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri akan disediakan bagi pembaikan 327 jalan, jambatan, tebing jalan dan kerja penyambungan bekalan elektrik.










