PETALING JAYA: Isu melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai usahanya membantu mangsa banjir di kawasan terjejas banjir di Johor masih belum reda.
Dilabel sebagai ‘kuat berlakon’, beliau juga didakwa cuba memperlekehkan kerajaan negeri Johor mengenai usaha membantu mangsa banjir.
“Attack me (serang saya). But why ask the police to investigate our volunteers (Tetapi mengapa minta polis siasat sukarelawan kita)?” Soalnya dalam ciapan di Twitter.
Menurut Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, kerja membantu mangsa banjir digerakkan oleh mereka (sukarelawan).
“Saya sekadar membantu. Mereka (sukarelawan) adalah hero sejati.
“Setakat ini Muda telah dapat dana atau sumbangan bantuan sebanyak RM3.2 juta dan menggerakkan 10,000 sukarelawan,” katanya.
Baru-baru ini, beliau mendakwa, enam sukarelawan parti itu disiasat polis.
Dakwanya, ini kerana mereka telah menyampaikan bantuan banjir secara terus kepada pemohon dan tidak meletakkan bantuan itu ke tempat yang dikhususkan.
Beliau sendiri dikecam cuba ‘berdrama’ dalam melaksanakan bantuan di Johor.










