Sabah laksana pendataan pekerja asing - Utusan Malaysia

Sabah laksana pendataan pekerja asing

BUNG Moktar Radin (tengah) bersama Ismail Mohamed (kiri) dan Idris Abdullah (kanan) sebelum mesyuarat jawatankuasa teknikal di Menara Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masalah pengurusan pekerja asing di Sabah dilihat mampu diselaraskan menerusi program khas pendataan pekerja asing dan bukan pemastautin yang akan bermula pada 3 Februari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengurusan data pekerja asing sedia ada tidak menyeluruh dan bersepadu dan ia merencatkan usaha kerajaan mengurus pekerja asing dengan lebih teratur.

Justeru, menerusi program khas itu, data-data pekerja asing akan dikumpulkan oleh Smart Sabah Corporation Sdn. Bhd. (SSC) yang akan membangunkan sistem pengurusan bersepadu pekerja asing dan bukan pemastautin negeri Sabah bagi tempoh enam bulan dari 3 Februari hingga 2 Ogos.

“Walau bagaimanapun, majikan perlu mengemukakan permohonan antara 3 Februari sehingga 2 Mei menerusi laman sesawang yang disediakan.

“Program berkenaan terbuka kepada majikan yang mempunyai pekerja asing yang sah, tidak sah, pemastautin dan bukan pemastautin yang berada di Sabah sehingga kini,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah di Menara Kinabalu hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Bung Moktar berkata, data itu penting untuk membantu kerajaan mengenal pasti keperluan industri dan penyesuaian dengan Dasar Buruh Negara serta melaksanakan rekod pengenalan biometrik keselamatan (cap jari dan muka) untuk setiap pekerja asing dan bukan pemastautin di Sabah.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, data yang dikumpul itu nanti akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sabah kerana isu pekerja asing sudah tergantung berpuluh tahun tanpa diurus dengan baik.

“Saya tahu isu ini akan dipolitikkan oleh pihak tertentu namun, itu bukan kerisauan kerana sudah menjadi kebiasaan. Apa yang penting rakyat Sabah dapat menikmati kehidupan lebih baik daripada hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pengurusan data yang tidak bersepadu pada masa ini menyukarkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Jelas beliau, program khas pendataan itu akan membolehkan semua pekerja asing tidak sah dari semua sektor dan subsektor pekerjaan yang berada di Sabah memohon pas lawatan kerja sementara daripada Jabatan Imigresen.

Di samping itu, ia memberi kelonggaran kepada pekerja asing tidak sah untuk pulang ke negara asal masing-masing tanpa dikenakan tindakan undang-undang dengan syarat mereka tidak melakukan kesalahan jenayah.

“Selepas program khas ini berakhir, majikan-majikan yang masih lagi mengupah pekerja asing tidak sah akan dikesan dan ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bersalah,” katanya.

Secara keseluruhan, terdapat 21,000 majikan dalam pelbagai sektor di Sabah namun, bilangan pekerja asing masih belum dapat dipastikan kerana data setiap agensi berlainan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya