Sabah akan kembali jadi kubu kuat BN - Utusan Malaysia

Sabah akan kembali jadi kubu kuat BN

JOSEPH Kurup (tengah) menyerahkan bendera PBRS kepada Addy Noran (kiri) dalam majlis pelancaran di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah berpeluang untuk kembali menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, berdasarkan pencapaian atau track record yang lepas, BN terbukti mampu membela nasib rakyat di Sabah.

“Tidak ada parti lain yang boleh dibandingkan dengan BN. Semasa pilihan raya yang lepas, banyak janji-janji yang mereka (pembangkang) buat tapi tidak ada satu pun tertunai malah, mereka mengatakan ia sekadar manifesto dan tidak berhasrat untuk memenuhinya.

“Bagi mereka manifesto itu semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat yang tidak perlu dipatuhi,” katanya semasa majlis pelancaran PBRS Bahagian Tanjung Aru dan Tanjung Keramat semalam.

Menurutnya, penubuhan dua bahagian baharu ini akan mengukuhkan lagi kedudukan PBRS di Sabah yang kini mempunyai keahlian yang mencecah 100,000 orang.

Pada mulanya, parti ini mempunyai seramai 70,000 orang dan baru-baru ini, keahlian parti mencapai lebih 100,000 orang dan ini menunjukkan kedudukan PBRS semakin kuat.

“Saya percaya mereka tertarik dengan perjuangan PBRS yang masih bersama-sama BN. Kita mempunyai pendirian dan konsisten memperjuangkan serta membela nasib rakyat,” katanya.

Mengenai pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan parti politik rasmi, Joseph berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan belum dibincangkan secara mendalam.

Setakat ini belum ada sebarang mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu pendaftaran GRS ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penubuhan parti berasaskan kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang baharu oleh bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Peter Anthony tidak akan berjaya memecah belah masyarakat KDM di Sabah.

“Daripada dahulu mereka cuba memecah belah perpaduan dengan menubuhkan Persatuan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia walaupun sudah ada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) tapi, ia tidak berjaya memecah belah masyarakat KDM

“Itu sebab saya sering kali meminta mengambil tindakan tertentu supaya dapat mengeratkan hubungan dan terus bersatu. Perpaduan amat penting untuk kita terus maju ke hadapan,” katanya.

Dalam majlis itu, Joseph menerima kemasukan lebih 3,000 orang ahli dari kedua-dua bahagian yang baharu ditubuhkan.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Penaja PBRS Tanjung Aru, Addy Noran Sukiran; Ketua Bahagian Penaja PBRS Tanjung Keramat, Alex Among dan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Noor Mohamad. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.