PUTRAJAYA: Etnik Rohingya yang berada di negara tidak sesuai dijadikan pekerja ladang kelapa sawit kerana hasilnya dikatakan jauh lebih teruk berbanding rakyat asing dari negara lain.
Malah, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Berhad, Mohamad Helmy Othman Basha mendakwa, pendatang tersebut juga lebih teruk daripada pekerja tempatan sendiri.
“Jika anda anda hasrat mahu cuba ambil mereka, silakan tetapi percayalah mereka ini cuma mampu bertahan paling lama pun dua bulan kerana ladang bukan jiwa mereka,” katanya dalam sesi soal jawab Seminar Semakan dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini, hari ini.
Ia dirasmikan Menterinya, Datuk Zuraidah Kamaruddin dengan ucap tama ucap oleh Ketua Pengarahnya Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Terdahulu, ada peserta seminar itu bertanya kenapa tiada firma perladangan di Malaysia menerima etnik Rohingya sekali gus mengatasi isu kekurangan kritikal buruh estet tersebut.
Mengulas lanjut, Mohammad Helmy berkata, Sime Darby pernah melakukan eksperimen sosial dengan menggaji etnik itu tetapi hasilnya amat mengecewakan malahan tidak sesuai.
“Kalau anda perhati, mereka ini suka tinggal di kawasan bandar atau pekan dengan banyak ceburi bisnes runcit, tetapi jika disuruh kerja ladang, anda mesti menyesal nanti,” jelasnya.
Secara jujur, beliau berkata, syarikatnya pernah meminta kerjasama Suruhanjaya Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu bagi projek perintis etnik Rohingya, namun hasilnya amat teruk.
Pendatang tersebut ujarnya, bukanlah berjiwa ladang tetapi mereka bersifat urban dengan banyak terlibat bidang perniagaan kecil yang lebih bebas dan tidak terikat arahan mandur.
Dianggarkan terdapat lebih 200,000 etnik Rohingya yang berlindung di Malaysia ekoran isu ketegangan politik dan penindasan oleh rejim junta Myanmar ke atas minoriti Islam tersebut.
Menyentuh kenapa belia tempatan pula tidak berminat, beliau berkata, selain faktor gaji rendah hanya RM1,200, suasana kerja juga mengakibatkan tiada sebab bagi menarik mereka. Ini termasuk perlu bermula kerja dari pukul 6.30 pagi lagi yang memerlukan mereka harus bangun tidur seawal 5 pagi, sedangkan keadaan itu dianggap sebagai amat menyusahkan.
Beliau bahkan berpendapat, gaji minimum pekerja itu sepatutnya wajar dinaikkan sehingga RM2,500 walaupun skor kerja akan bertambah sedikit kerana kadar tersebut agak relevan. – UTUSAN ONLINE










