JEMPOL: Kesemua anak peserta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang masih bersekolah dan terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini akan dibantu menerusi program bantuan persekolahan hasil peruntukan sebanyak RM1 juta.
Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, bantuan hasil peruntukan Yayasan Risda itu merangkumi pemberian peralatan serta pakaian sekolah bernilai RM100 bagi setiap murid.
“Pengarah Risda Negeri telah diminta untuk mengenal pasti anak-anak yang layak untuk menerima bantuan ini.
“Menerusinya, kami akan membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan anak masing-masing dan saya harapkan agar semua anak-anak yang terjejas dengan banjir ini dapat kembali ke sekolah dalam keadaan yang ceria,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian kepada pemberita selepas Program Happy To School Parlimen Jempol Bersama Risda di sebuah gedung pakaian di Bahau di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli dan Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal.
Sementara itu, Mohd. Salim berkata, seramai 1,240 pelajar terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan dibantu daripada segi pemberian bantuan persekolahan menerusi peruntukan sebanyak RM180,000.
“Program yang diadakan hari ini bukan sahaja memberi fokus kepada anak-anak pekebun kecil RISDA yang terkesan akibat banjir tetapi juga kepada golongan asnaf dan anak mangsa banjir di daerah Jempol.
“Jumlah bantuan hari ini turut menggabungkan peruntukan daripada Parlimen Jempol dan Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol (YPKJ). Inisiatif penggabungan peruntukan ini adalah sangat baik dan jika dapat dilaksanakan di seluruh kawasan, lebih ramai lagi yang memerlukan akan mendapat bantuan seperti ini,” katanya.









