GEORGETOWN: Pelbagai jenis dadah bernilai RM113.92 juta berjaya dirampas polis Pulau Pinang sepanjang tahun lalu hasil peningkatan operasi, risikan dan kehadiran anggota di lapangan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah dadah yang dirampas itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM65.18 juta berbanding 2020 yang berjumlah RM48.74 juta.
Katanya, seramai 7,688 orang telah ditahan sepanjang tahun lalu yang mana 1,976 orang ditahan dibawah kategori bekalan, pemilikan (4,197) dan urin (1,515).
“Kita menjangka aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah akan berterusan memandangkan mereka agresif, tidak takut dengan undang-undang dan adanya permintaan.
“Disebabkan itu, pihak polis akan meningkatkan kerja-kerja risikan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Padang Tembak, di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil kajian yang dijalankan oleh semua jabatan polis di Pulau Pinang pada tahun lalu mendapati banyak kes jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai rekod narkotik.
“Jadi strategi kita untuk tahun ini ialah cuba tangani masalah penyalahgunaan dadah dan lihat bagaimana ia beri kesan kepada jenayah harta benda dan kekerasan. Ia akan beri data sama ada terdapat kaitan antara salah guna dadah dan perlakuan jenayah,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, jenayah komersial turut meningkat dengan mendadak sepanjang tahun lalu.
“Kerugian yang dialami oleh rakyat negeri ini sepanjang tahun lalu ialah sebanyak RM537 juta dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 225.4 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu kerugian sebanyak RM165 juta.
“Ini mengambil kira kes yang disiasat iaitu sebanyak 3,209 kes pada tahun lalu berbanding hanya 2,453 kes pada tahun 2020,” katanya.
Tambahnya, mangsa-mangsa penipuan ini datang dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, profesional, buruh, pelajar, pekerja swasta dan penjawat awam. – UTUSAN ONLINE