RM1.772 bilion khusus bantuan penerima JKM - Utusan Malaysia

RM1.772 bilion khusus bantuan penerima JKM

RINA Mohd. Harun beramah mesra bersama pegawai KPWKM pada Perhimpunan Bulanan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkhususkan RM1.772 bilion atau 71 peratus daripada RM2.5 bilion jumlah peruntukan belanja mengurus kepada bantuan kebajikan melibatkan 517,414 penerima di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, penerima bantuan tersebut terdiri daripada pelbagai kategori dan peruntukan kepada mereka yang memerlukan itu bagi membantu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Ini juga selaras dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan penggunaan Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

“Perubahan ini akan melibatkan RM200 juta bagi tahun ini untuk bayaran kebajikan di bawah JKM. Kenaikan PGK ini memerlukan perhatian khusus kementerian,” katanya dalam sidang akhbar perhimpunan bulanan kali pertama tahun 2022 KPWKM di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan menggunakan PGK 2019 ini, dijangka lebih ramai lagi permohonan daripada mereka yang terkesan dengan anggaran penerima mencecah 550,000 orang.

Dalam pada itu, katanya, untuk keseluruhan pada tahun ini, KPWKM diperuntukkan sebanyak RM2.68 bilion iaitu pertambahan peruntukan sebanyak RM116.8 juta bersamaan 4.56 peratus berbanding tahun lalu.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.5 bilion di bawah peruntukan mengurus manakala, RM175.42 juta pula melibatkan peruntukan pembangunan.

Sementara itu, beliau mencadangkan sudah tiba masanya penggunaan makanan dengan bungkusan teknologi retort atau penstrilan diperluaskan berikutan ia lebih sesuai dan praktikal khususnya membekalkan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, ia sudah lama digunakan tentera serta menjadikan makanan tahan lebih lama, segar dan mudah disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN