PETALING JAYA: Selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), agensi itu tetap memastikan perkhidmatan dan operasi hariannya berjalan lancar seperti biasa.
Pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, proses RCI itu dijangka memperkuat lagi Tabung Haji sebagai institusi kewangan Islam negara dan antarabangsa yang sudah lama berkhidmat dengan rekod cemerlang sejak 1963.
“Alhamdulillah, dengan usaha semua pihak, TH terus mencapai beberapa kemajuan kebelakangan ini dan kini berada pada landasan kewangan dan operasi yang baik dan kukuh.
“Jumlah simpanan deposit yang dijamin oleh kerajaan telah mencecah RM83.3 bilion pada 31 Disember 2021.
“Jumlah ini adalah yang tertinggi didalam sejarah Tabung Haji walaupun keadaan ekonomi dan pasaran yang mencabar akibat wabak Covid-19 sejak dua tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif dilantik sebagai Pengerusi RCI bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji bermula 2014 sehingga 2020.
Lima ahli lain adalah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.
Selain itu, mereka terdiri daripada Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) yang juga Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim dan Akauntan Bertauliah yang juga Timbalan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, Tabung Haji akan memberikan kerjasama sepenuhnya berdasarkan lunas-lunas perundangan bagi kelancaran proses RCI.
“Operasi harian, aktiviti pelaburan serta perkhidmatan yang disediakan TH kepada para pendeposit tetap berjalan seperti biasa.
“Tabung Haji juga yakin, hasil dapatan dan pandangan daripada ahli-ahli RCI akan dapat membantu menambah baik aspek tadbir urus dan pengurusan TH pada masa depan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE