ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,500, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazuli Mohd. Nazari, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan hakim, Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Nazuli didakwa memperoleh suapan tersebut daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang disyaki mencuri dua telefon bimbit di sebuah kedai dalam pekan Baling dekat sini.
Tertuduh didakwa menerima rasuah pada 3 Disember 2019, kira-kira pukul 4.27 petang dalam sebuah kenderaan Perodua Axia di tempat letak kereta, Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Baling.
Tertuduh ketika itu bertugas di Bahagian Detektif, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan tertuduh diwakili peguam, Alif Zulkefli.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Sew Ping memohon supaya tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin dengan nilai RM10,000.
Namun Alif dalam mitigasinya meminta supaya jaminan ditetapkan pada kadar minimum memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Mac ini.
Difahamkan tertuduh membayar jaminan ditetapkan itu. -UTUSAN ONLINE

								
											








