Qarl and The Narrator lancar 360 Darjah - Utusan Malaysia

Qarl and The Narrator lancar 360 Darjah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hasrat Muhammad Haiqal Anuar Kharudin atau lebih mesra digelar Qarl akhirnya tercapai setelah sekian lama menyimpan impian untuk menubuhkan kumpulan muzik.

Dengan adanya Qarl and The Narrator, Qarl kini lebih bersemangat dalam mengejar impian untuk menjadi pemuzik terkemuka dalam negara.

Sebelum menyertai kumpulan itu, Qarl pernah bergerak solo dan melancarkan single berjudul Kisah pada Julai 2020.

Namun, perjalanannya sebagai penyanyi solo tidak begitu membuahkan hasil sehingga menyebabkan dia hampir berputus asa.

“Saya pernah patah semangat selepas melancarkan single Kisah pada tahun lalu kerana tiada sambutan dan tiada sebarang promosi untuk lagu tersebut. Pada masa sama, saya juga sedang putus cinta.

“Waktu itu, saya sudah tidak mahu teruskan karier dalam bidang nyanyian lagi. Tetapi bila fikir balik, saya tiada tempat untuk meluahkan perasaan kalau bukan menerusi muzik.

“Jadi saya membuat keputusan untuk bangkit semula dengan kumpulan Qarl and The Narrator,” katanya.

Selain Qarl selaku vokalis, band itu turut dianggotai oleh Pinaz (gitaris), Adha (pemain dram) dan Sukor (pemain bass).

Pada November 2021, kumpulan tersebut telah melancarkan single sulung berjudul 360 Darjah yang dinukilkan sepenuhnya oleh Qarl dan penyusunan muzik oleh Syahir.

Proses penciptaan lagu itu turut banyak dibantu oleh ahli kumpulan tersebut bagi mencantikkan lagi struktur lagu itu.

Menurut Qarl, lagu bergenre rock alternatif atau rock moden itu bermaksud satu pusingan hati yang drastik.

“Orang ramai sedia maklum 360 darjah merupakan satu pusingan lengkap, jadi mesej yang ingin disampaikan adalah sifat dan hati manusia itu dipegang oleh Pencipta.

“Boleh jadi pada waktu pagi kita bergelak ketawa dengan seseorang, tetapi di sebelah petang berlaku pertelingkahan dan kita sudah jadi musuh atau putus hubungan.

“360 Darjah membawa maksud satu hubungan yang berubah secara tiba-tiba, secara cepat dan drastik,” terang anak kelahiran Selangor itu.

Memandangkan kumpulan itu masih baru, Qarl akui, cabaran mereka adalah untuk menghasilkan muzik mengikut trend semasa.

Justeru, kumpulan tersebut komited untuk meningkatkan lagi kualiti muzik mereka dari segi penulisan lirik dengan harapan orang ramai akan menyedari kehadiran mereka dalam industri seni ini tidak lama lagi.

“Kami berharap, peminat muzik dapat menerima karya kami. Semoga kumpulan kami yang baru hendak berjinak-jinak ini lebih maju dan berjaya di masa depan,” katanya.

Lagu 360 darjah boleh didengari di semua platform digital dan lirik video rasminya juga boleh ditonton di laman YouTube Fusion Records My.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN