PRN Johor: MCA mampu tarik pengundi Cina - Utusan Malaysia

PRN Johor: MCA mampu tarik pengundi Cina

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN), MCA mampu menarik semula sokongan masyarakat Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, pihaknya juga berjanji bahawa UMNO dan BN Pasir Gudang tidak akan meninggalkan MCA berseorangan dalam usaha merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya daripada DAP.

“Saya percaya dan yakin, sebagai sebuah keluarga besar BN, MCA mampu untuk bawa semula undi kaum Cina serta rampas kerusi DUN Johor Jaya daripada DAP. (Sehubungan itu) saya menyeru semua untuk kerja kuat dan pastikan BN peroleh kejayaan di DUN Permas dan DUN Johor Jaya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, ahli UMNO turut digerakkan bagi membantu kepada memenangkan calon BN daripada MCA di Johor Jaya.

“Inilah masanya, kaum Cina yang kecewa dengan prestasi 22 bulan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memilih BN yang telah terbukti mempunyai formula menguruskan kemajmukan di negeri dan negara ini,” ujarnya.

Dalam pilihan raya umum lalu, kerusi DUN Johor Jaya dimenangi calon DAP, Liow Cai Tung manakala kerusi DUN Permas dimenangi calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×