JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat akan menjadi penanda aras dan cerminan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila buat pertama kali memberi laluan pengundi berusia 18 tahun hingga 20 tahun terlibat dalam proses demokrasi itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengenalan Undi18 itu akan memberi impak dan cabaran bukan sahaja Barisan Nasional (BN) malah memberi kesan kepada parti-parti lain yang bertanding.
Katanya, UMNO Pusat sudah menjangkakan situasi itu akan berlaku malah sudah melakukan tindakan sewajarnya dari segi penganjuran program dan aktiviti.
“Dianggarkan seramai 700,000 pengundi baru bertambah di negeri ini yang dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu 18 hingga 20 tahun serta 21 tahun ke atas yang terdiri daripada pengundi kali pertama.
“Situasi ini mencabar buat semua parti politik yang akan bertanding. Tak semestinya apabila Kita sebut pengundi muda, mereka akan menyokong pembangkang dan pembangkang juga tak boleh katakan pengundi muda mesti menyokong mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Antara yang dilihat telah hadir sebelum itu termasuklah Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.
Terdahulu, Hasni mengesahkan Johor bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam waktu terdekat ini.
“Saya dah dapat persetujuan daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mengadakan PRN Johor. Saya akan adakan sidang akhbar berkenaan perkara ini pada pukul 6 petang ini, selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di istana Bukit Serena pada pukul 5 petang ini.
“Ketika ini saya mahu mempengerusikan majlis mesyuarat kerajaan negeri di Kota Iskandar terlebih dahulu,” katanya ringkas.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, parti itu tidak mahu terlalu yakin untuk menawan kembali negeri kelahiran parti keramat itu susulan kejayaan menang besar yang dicatatkan pada PRN di Melaka dan di Sarawak.
Katanya, UMNO Pusat sudah membuat persiapan sepatutnya sejak tahun lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dari segi persiapan jentera dan sebagainya.
“Barisan Nasional (BN) yang menang 75 peratus kerusi di PRN Melaka dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang 92 peratus, tidak bermakna Kita terlalu yakin akan menang di PRN Johor. Kita akan teruskan membuat persiapan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










