PRN Johor bukan kerana ‘kluster mahkamah’ - Khaled

PRN Johor bukan kerana ‘kluster mahkamah’ – Khaled

KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ‘kluster mahkamah’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat kerana kedudukan kerajaan negeri yang tidak stabil kerana hanya mempunyai satu kerusi majoriti.

Malah beliau berkata, piihaknya juga bersetuju agar isu mereka yang dikaitkan sebagai ‘kluster mahkamah’ diserah kepada proses undang-undang untuk diadili dengan sebaiknya.

“PRN Johor tidak ada kena mengena dengan kluster mahkamah. Saya setuju, isu mereka harus diserahkan kepada mahkamah. Itulah pendirian saya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Cuma, hakikatnya, kerajaan negeri Johor sebelum ini berdiri dengan hanya satu majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah satu kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.

“Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh dengan mandat yang sah adalah melalui PRN. Kita tidak boleh terus menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kenyataan dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa PRN Johor dilaksana atas agenda kluster mahkamah.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut memberitahu, pihaknya mengakui kekuatan jentera Pas dan mendoakan yang terbaik kepada parti itu dalam PRN Johor akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN