KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu terus mencatatkan trend penurunan susulan penutupan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, PPS Surau Kampung Ban Ho yang dihuni 10 penduduk itu mulai ditutup pada pukul 8 pagi.
Katanya, bilangan mangsa banjir kini tinggal 137 orang menerusi dua PPS yang beroperasi di Dungun, setakat pukul 10 pagi ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 69 orang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Shukur pula 68 orang.
“Semalam satu PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda turut ditutup dan hari ini disusuli di Kemaman pula,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut sekretariat itu, cuaca di seluruh negeri masih mendung dan berangin manakala hujan renyai-renyai di beberapa tempat.
Sementara itu, pemerhatian di laman sesawang Public Infobanjir mendapati, hanya dua stesen sungai kini mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Besut di jambatan Keruak (Besut) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman (Kemaman). -UTUSAN ONLINE