Polis giat operasi, pantau kegiatan jual sijil digital vaksinasi palsu -

Polis giat operasi, pantau kegiatan jual sijil digital vaksinasi palsu

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan sindiket penjualan sijil digital vaksinasi palsu yang dilihat menghalang usaha kerajaan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sehubungan itu, pihak polis kini mempergiatkan operasi dan pemantauan dalam mengesan pihak disyaki terlibat dengan sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak mahu melihat usaha dan langkah kerajaan melakukan pencegahan terhalang oleh kerana tindakan segelintir pihak selain mereka menggugat imej negara.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket sedemikian wujud di negeri-negeri lain.

“Saya telah mengarahkan ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen negeri melalui Pengarah JSJ Bukit Aman (Datuk Seri Abd Jalil Hassan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (Datuk Mohd Kamarudin Md Din) untuk menjalankan risikan.

“Ini bagi mengesan sama ada terdapat lagi perkara sama berlaku di tempat-tempat lain,” katanya selepas hadir ke program pendidikan dan kemahiran awal murid autisme di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Acryl Sani, pihaknya setakat ini hanya mengesan satu kes berkenaan berlaku di Marang, Terengganu.

“Siasatan polis Terengganu mengesan sindiket berkenaan yang dilakukan oleh seorang suspek lelaki dan kami masih sedang mengesan jika ia berlaku di negeri-negeri lain,” katanya.

Isnin lalu, media media melaporkan tembelang doktor antivaksin terbongkar selepas lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan  di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Perkhidmatan penipuan sijil vaksinasi ini dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian termasuk melalui e-mel.

Suspek mengakui merupakan golongan antivaksin, malah turut melantik ejen dengan membayar komisen sebanyak RM50 bagi setiap satu sijil palsu yang dikeluarkan.

Hasil penahanan itu, pelbagai barangan dirampas termasuk satu set dokumen borang persetujuan suntikan Covid-19 diikuti 97 keping kad peringatan vaksinasi, satu set fail invois Sinovac, tiga set dokumen status vaksinasi di samping komputer riba. 

Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu hingga semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya