Pindaan Ordinan Peguam Bela Sabah berkuat kuasa Isnin depan - Utusan Malaysia

Pindaan Ordinan Peguam Bela Sabah berkuat kuasa Isnin depan

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah melalui pelbagai proses di Parlimen sepanjang tahun lalu, pindaan kepada Ordinan Peguam Bela Sabah akhirnya bakal dikuatkuasakan pada 10 Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau telah pun menandatangani perintah pewartaan hari ini.

“Pindaan itu akan merangkumi pelbagai peraturan termasuk kawal selia Lembaga Tatatertib berkaitan perbicaraan disiplin terhadap peguam ingkar,” jelasnya menerusi kenyataan di sini.

Ordinan tersebut mula dibentangkan beliau sendiri di Dewan Rakyat pada 28 Oktober lepas untuk pindaan sebelum kemudian diluluskan di peringkat Dewan Negara pada 8 Disember lalu.

Ia seterusnya mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 28 Disember tahun lepas yang membolehkan pindaan diwartakan kerajaan setelah ditandatangani menteri berkaitan.

Mengulas lebih lanjut, Wan Junaidi berkata, perubahan ordinan itu akan membenarkan proses tatatertib menjadi lebih cekap untuk pelaksanaan siasatan dan memutuskan aduan awam.

“Kesimpulan sama ada untuk membatalkan, menggantung atau mendenda peguam terbabit atas isu pertikaian etika atau tingkah laku akan dapat dilakukan dengan segera,” tambahnya.

Sehubungan itu ujarnya, pindaan berkenaan akan membantu orang ramai yang teraniaya dan seterusnya mengembalikan keyakinan awam terhadap kewibawaan peraturan lebih ketat.

Selain itu katanya, pindaan tersebut meliputi perluasan kuasa Persatuan Peguam Sabah (SLS) untuk bukan sahaja dapat menguruskan akaun bank pelanggan peguam meninggal dunia.

Bahkan, ia membolehkan pihak SLS dapat melakukan pengambilan milikan harta peguam di negeri tersebut yang telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai muflis atau tidak waras lagi.

 “Ini juga selaras peruntukan dalam Jadual Kedua Ordinan yang melibatkan peguam pemilik tunggal yang sudah pun hilang upaya kerana sakit atau sebarang sebab lain,” jelas Wan Junaidi.

Oleh itu katanya, pindaan ini bakal memberi manfaat kepada pelanggan dan peguam di samping perubahan kaedah pengundian untuk pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif SLS sendiri.

Badan tersebut jelas beliau, akan diberi kuasa untuk membuat peraturan urus tadbir termasuk mewujudkan peruntukan tertentu dan kawal selia pemilihan jawatan melalui proses undi pos.

Inisiatif baharu itu akan memastikan semua ahli SLS memiliki satu suara yang sama sama ada mereka mungkin atau tidak dapat menghadiri mesyuarat tahunan berlangsung secara fizikal.

“SLS memberi jaminan bahawa ia akan sentiasa mencari jalan terbaik demi kepentingan peguam di Sabah dan sedia berkhidmat untuk faedah semua pihak berkepentingan,” tegas beliau.

Organisasi tersebut kata Wan Junaidi, merupakan badan guaman berkanun negeri itu pada Julai 2017 selepas Ordinan Peguam Bela Sabah (Pindaan) 2016 dikuatkuasakan sebelumnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.