Perbanyakkan asrama harian di pedalaman Sabah - Utusan Malaysia

Perbanyakkan asrama harian di pedalaman Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan wajib menyediakan lebih banyak asrama harian bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah.

Langkah sebegini penting bagi mengelak pelajar di Sabah terus keciciran dalam pelajaran kerana kedudukan rumah yang terlalu jauh dari sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip berkata, semasa beliau masih bertugas dahulu, terdapat kira-kira 30 peratus sahaja sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman mempunyai asrama harian mahu pun asrama desa.

“Keperluan asrama harian ini begitu mendesak di Sabah kerana kita mempunyai banyak sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Di pedalaman, ramai pelajar yang tinggal jauh dari sekolah dan perjalanan pula mengambil masa lebih sejam dan situasi ini menyebabkan kehadiran pelajar sangat rendah.

“Sekiranya kerajaan mempunyai kekangan kewangan untuk mewujudkan lebih banyak asrama harian maka, Kementerian Pendidikan harus mengkaji semula keperluan asrama-asrama di kawasan bandar yang mungkin tidak lagi relevan,” katanya.

Beliau berkata, asrama di sekolah bandar mungkin boleh disemak semula. Jika peratusan pelajar tinggal di asrama kurang daripada separuh kapasiti asal mungkin lebih baik jika asrama sebegitu ditutup.

KPM boleh menggunakan kos perbelanjaan itu bagi membuka asrama harian di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana pelajar di luar bandar lebih memerlukan asrama.

Misalnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac yang dahulu mungkin perlu asrama kerana tidak banyak sekolah di sekitar bandar raya ini namun, sekarang sekolah sudah semakin banyak.

Ketika ini terdapat 1,075 sekolah rendah dan 218 sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan di Sabah.

Jelas beliau, kemudahan asrama di sekolah-sekolah di Sabah juga perlu diberi perhatian kerana kebanyakan kemudahan asrama di sekolah luar bandar sejak daripada zaman 70an-80an dan tidak ditambah baik.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya