GEORGETOWN: Seorang penunggang motosikal cedera dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Tengah, Bayan Baru, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa yang belum dikenal pasti identiti dikatakan sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum dihempap sebatang pokok di laluan berkenaan.
Lokasi berkenaan merupakan laluan alternatif atau jalan singkat menghala ke Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Bukit Gedung.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 11.31 malam dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi berkenaan mendapati kejadian turut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai diletakkan pemiliknya di kawasan berhampiran.
“Penunggang motosikal yang dilaporkan mengalami kecederaan terlebih dahulu dibawa orang awam ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota telah menjalankan kerja-kerja memotong pokok menggunakan peralatan khas sebelum operasi ditamatkan sejam kemudian,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










