Penjaja di lampu isyarat akan diambil tindakan - Utusan Malaysia

Penjaja di lampu isyarat akan diambil tindakan

ANGGOTA polis menyaman peniaga jalanan yang berniaga di persimpangan lampu isyarat di Taiping baru-baru ini. - IHSAN FB POLIS DAERAH TAIPING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penjaja di lampu isyarat di negeri ini akan dikenakan tindakan kerana membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Datuk Mohamed Radzi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama pihak yang berkaitan akan mengadakan operasi bersepadu terhadap peniaga terlibat.

Menurutnya, tindakan akan diambil kerana perbuatan menjaja di lampu isyarat menyebabkan risiko keselamatan kepada penjaja dan orang awam.

“Sebelum ini tindakan telah diambil terhadap penjaja di lampu isyarat di Taiping yang berleluasa.

“Perniagaan seperti ini bukan sahaja membahayakan diri mereka tetapi juga terhadap pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan promosi Tahun Baharu Cina 2022 di Aeon Midtown Falim di sini hari ini.

NOLEE Ashilin Mohamed Radzi (tiga dari kiri) melihat pembuatan kaligrafi Cina pada perasmian Promosi Tahun Baharu Cina 2022 di Aeon Midtown Falim Ipoh hari ini. – UTUSAN/LIYANA RAMLI

Menurut Nolee Ashilin, sekiranya perbuatan penjaja di lampu isyarat itu membawa kepada ancaman keselamatan, pihak yang terlibat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang mengikut akta yang ditetapkan.

“Tindakan pertama penjaja akan diberi amaran tetapi sekiranya ingkar, tindakan undang-undang akan diambil mengikut akta yang ditetapkan,” katanya.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya juga membuka peluang kepada peniaga-peniaga baharu termasuk penjaja di lampu isyarat memohon lesen perniagaan secara dalam talian.

Kata beliau, menerusi perniagaan yang didaftarkan, peniaga dapat mengenal pasti lokasi perniagaan mereka mengikut undang-undang atau sebaliknya.

“Menjaja di lampu isyarat memang tidak dibenarkan kerana terlalu bahaya dan tidak selamat.

“Kita akan lihat lokasi dan PBT akan akses sama ada mereka perlu diambil tindakan ataupun kita cuba cari tempat untuk mereka berniaga di tempat yang lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri yakin melalui inisiatif pameran kebudayaan perayaan kaum-kaum di negara ini, ia mampu mempromosikan industri pelancongan di negeri ini.

“Pameran kebudayaan seperti pada majlis hari ini antara usaha membantu mempromosikan negeri Perak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN