TAWAU: “Alhamdulillah, ada keadilan untuk anak saya,”
Demikian luahan Siti Hamidah Jumari, 46, ibu kepada Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd. Narul Azwan, 17,
Ia selepas Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu kerana membunuh anaknya itu pada tahun lalu.
Siti Hamidah berkata, keputusan yang dibuat oleh Hakim, Datuk Duncan Sikodol itu memberikan kelegaan buat keluarganya yang terpaksa menanggung kesedihan sejak tragedi menimpa anak bongsunya itu lebih setahun lalu.
“Selama setahun lima bulan 15 hari kami berpisah dengan arwah, Alhamdulillah keadilan akhirnya ditegakkan. Walaupun anak saya tidak kembali, sekurang-kurangnya hukuman ini memberi pengajaran,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Tawau, di sini hari ini.
Menurutnya, kes buli yang berakhir dengan kehilangan nyawa anaknya seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak memandang remeh isu berkenaan.
Katanya, walaupun reda dengan apa yang telah berlaku, dia mengakui dirinya tetap berasa kehilangan mendalam kerana anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang pergi dalam keadaan menyayat hati.
“Anak yang kita besarkan dari kecil, tiba-tiba pergi begitu sahaja. Walaupun dia masih bersekolah, saya dapat bayangkan satu hari nanti dia akan jadi orang berjaya. Tapi rezekinya hanya setakat ini,” katanya. – UTUSAN










