JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM3,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Samsul Sulaiman, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang didakwa secara rasuah meminta suapan daripada seorang wanita.
Ia sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes jenayah pecah rumah dan curi harta dalam rumah yang dihadapi suami wanita itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kluang kira-kira pukul 3 petang, 15 Julai 2023.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa SPRM, Ameera D’aneez Mohd. Shukari manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Azlan Shah Allias.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Kluang setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN










