PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang penerbit rancangan wanita di sebuah agensi penyiaran, selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000.
Permohonan reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu dilakukan bermula hari ini sehingga 14 Januari depan selepas Majistret Nur Farahain Roslan membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
Satu sumber memberitahu, penahanan wanita itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam, semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.
Kata sumber, suspek sebagai penerbit rancangan di sebuah agensi penyiaran dipercayai telah mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi tiga rancangan dokumentari berjumlah lebih RM300,000.
“Tuntutan itu dilakukan pada tahun 2017 dan 2018 sedangkan rancangan tersebut tidak dilaksanakan,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman mengesahkan penahanan tersebut.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-UTUSAN -UTUSAN ONLINE










