Penduduk hilang tempat tinggal, Mahkamah Tinggi arah 30 keluarga kosongkan tanah selewat-lewatnya 3 Januari ini - Utusan Malaysia

Penduduk hilang tempat tinggal, Mahkamah Tinggi arah 30 keluarga kosongkan tanah selewat-lewatnya 3 Januari ini

SEORANG penduduk, Yaakob Darus melihat notis arahan mengosongkan tanah mereka yang ditampal di rumahnya di Kampung Pulau Tiga, Sungai Layar, Sungai Petani semalam. – UTUSAN/ABD. RAZAK OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 30 keluarga di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Jalan Lencongan Darat di sini hilang tempat tinggal selepas me­nerima notis Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mengosongkan tanah yang mereka diami selewat-lewatnya pada 3 Januari ini.

Notis tersebut dikeluarkan pada 19 Disember lalu setelah tanah yang mereka diami lebih 40 tahun dengan keluasan 44.2 hektar dikatakan milik seorang individu bergelar datuk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru Pulau Tiga, Saheme Hashim, 54, mendakwa, pada peringkat awal beberapa penduduk telah meneroka tanah tersebut yang dipercayai milik kerajaan sejak tahun 60-an.

Bagaimanapun, menurutnya, seorang individu tampil dengan mendakwa pemilik tanah di kawasan itu pada tahun 2000.

“Penduduk mula membuat permohonan lesen menduduki sementara tanah (TOL) di kawasan tersebut pada tahun 1992.

“Bagaimanapun permohonan TOL itu ditolak oleh Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda,” katanya ketika ditemui.

Saheme memberitahu, penduduk sekali lagi membuat permohonan TOL pada tahun 1999 namun sekali lagi ditolak oleh Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda dengan memaklumkan tanah di kawasan itu telah mempunyai pemilik.

Seorang pesara tentera, Abdul Rahim Md. Noh, 63, pula berkata, dia membina rumah dan menetap di kampung itu selepas pencen daripada perkhidmatannya lebih 20 tahun lalu.

Katanya, pihak pemilik tanah tersebut sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan penduduk sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Semua rumah di kampung ini mendapat kemudahan bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta air dari Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd (Sada) serta kemudahan lain, termasuk mempunyai sebuah surau.

“Sehubungan itu, saya minta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali segera membantu bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di kampung ini,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Shuhaimi Saad, 45, pula berkata, dia telah menetap di kawasan Pulau Tiga tersebut sejak berusia 17 tahun lagi.

“Saya terkejut apabila mendapat notis dari mahkamah supaya penduduk mengosongkan rumah tanpa sebarang pampasan.

“Disebabkan tidak berpuas hati, saya telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani pada 27 Disember lalu supaya siasatan segera dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan status geran tanah itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya