PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin parti mendoakan keafiatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini berada di Institut Jantung Negara (IJN).
Menerusi laman Facebook, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendoakan supaya Dr. Mahathir kembali sembuh.
“Saya mendoakan semoga Tun diberi kesihatan oleh Allah SWT,” katanya ringkas dalam hantaran itu.
Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mendoakan pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.
Anwar menghantar ciapan mengatakan beliau mendoakan kesihatan buat Dr. Mahathir dan turut mengharapkan agar keluarga bekas Perdana Menteri itu diberikan kecekalan dan kekuatan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat hadir di IJN bagi melawat Dr. Mahathir.
Bekas Perdana Menteri kini dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU), pusat perubatan itu.
Syed Saddiq yang juga menghantar ciapan berkata, beliau berharap supaya Dr. Mahathir cepat sembuh dan sentiasa mendoakannya kembali sihat.
Ruang media sosial dibanjiri dengan kata-kata semangat serta doa tidak kira daripada ahli politik mahupun rakyat buat Dr. Mahathir yang merupakan satu-satunya individu yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia dua kali.










