KUALA SELANGOR: Tindakan seorang pemandu lori yang tular memotong secara berbahaya dari sebelah kiri jalan di Kilometer 46 Jalan Klang–Teluk Intan di sini, mengundang padah apabila dikenakan tindakan, semalam.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu disaman selepas hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi video berdurasi 44 saat di media sosial, kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.
Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
“Bertindak atas maklumat, kita berjaya mengesan pemandu lori tersebut. Lelaki itu dan kenderaan yang digunakannya diminta hadir ke BSPT untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Ramli, pihaknya mengeluarkan saman mengikut Rule 6(1)A LN 165/59 kerana memotong secara bahaya atau potong Q (barisan).
“Semakan mendapati pemandu itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Polis turut menasihatkan lelaki itu supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.










