Pemandu Axia guna laluan motosikal disaman - Utusan Malaysia

Pemandu Axia guna laluan motosikal disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan sebuah kereta melalui laluan motosikal di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) berhampiran Plaza Tol Ayer Panas di sini mengundang padah apabila pemilik kenderaan itu disaman polis semalam.

Tindakan pemandu kereta berkenaan yang sekali gus membahayakan pengguna lebuh raya itu turut dirakam dan dimuat naik dalam Facebook sehingga mengundang kecaman netizen.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sejurus selepas menerima video tular itu, pihaknya terus menjalankan usaha bagi mengesan pemilik kenderaan itu.

“Pemilik kenderaan yang merupakan wanita warga tempatan berusia 49 tahun itu dikesan kira-kira pukul 5 petang pada Sabtu setelah usaha mengesan dijalankan.

“Tindakan saman dikenakan atas kesalahan tidak ikut tanda laluan trafik, telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Jelasnya, lorong motosikal merupakan laluan yang hanya dikhaskan kepada motosikal dan kenderaan seperti kereta tidak dibenarkan melaluinya.

“Tindakan sebegini sekali gus membahayakan pengguna lain dan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Semalam, tular dalam media sosial video sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita melalui laluan motosikal di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) berhampiran Plaza Tol Ayer Panas di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya