JOHOR BAHRU: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia sanggup membayar RM7,700 kepada tekong untuk membawa mereka masuk ke negeri ini melalui perairan Pontian, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua PATI wanita berusia 25 hingga 35 tahun itu bertindak nekad selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di ibu kota.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua tekong yang membawa 11 PATI mendapat upah daripada ejen di Indonesia yang menjanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur.
“Selain itu, setiap PATI juga perlu membayar upah sebanyak dua juta rupiah iaitu bersamaan RM700 kepada tekong untuk membawa mereka ke sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan enam PATI maut, seorang kritikal dan enam terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang, Pontian kira-kira pukul 12 tengah malam, Isnin lalu.
Bot fiber sepanjang 7.61 meter dinaiki dua tekong lelaki dan 11 PATI wanita berusia 21 hingga 35 tahun itu dipercayai bertolak dari Pulau Jaloh Batam Indonesia kira-kira pukul 9.30 malam.
Mereka dipercayai mahu menyelusup masuk dengan melakukan pendaratan di sebuah jeti nelayan di Api-api di sini namun akibat cuaca buruk dan ombak besar, bot fiber yang dinaiki mereka karam setelah dibadai ombak.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, polis Johor akan terus bekerjasama erat dengan Polis Republik Indonesia (Polri) bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran di masa akan datang.
Katanya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memperketatkan kawalan kemasukan PATI di negara ini.