Papan iklan haram: Pengiklan juga perlu bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Papan iklan haram: Pengiklan juga perlu bertanggungjawab

ANTARA papan iklan tidak berlesen yang ditampal notis dalam satu operasi MBS di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Seremban, baru-baru ini.– IHSAN MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat-syarikat yang meletakkan iklan mereka di papan iklan (billboard) di sepanjang lebuh raya perlulah turut bertanggungjawab memastikan syarikat pengiklanan yang dilantik mereka itu mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi berbuat demikian.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu bagi membendung isu papan iklan yang tidak mempunyai lesen dengan kebanyakannya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan yang berisiko mendatangkan bahaya termasuk kepada pengguna lebuh raya.

“Saya minta tuan punya iklan yang meletakkan bahan iklan dan promosi mereka supaya melihat adakah syarikat pengiklan yang mereka lantik itu mendapat kebenaran dan mempunyai lesen daripada PBT dan juga pejabat tanah.

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA

“Terlalu banyak papan iklan haram dikhuatiri kualiti yang dibina tidak menepati standard dan berbahaya kepada pengguna lebuh raya. Penting tindakan awal diambil kerana billboard haram tidak ikut spesifikasi boleh menjadi bencana kepada orang ramai.

“Tidak boleh begini, ia perkara yang harus diberikan perhatian, bagi saya syarikat yang meletakkan iklan di billboard ini juga perlu bertanggungjawab, jangan lepas tangan. Saya ingatkan supaya dapat beri kerjasama bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan mendirikan struktur papan iklan dengan menceroboh tanah berhampiran laluan lebuh raya antara tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan segelintir syarikat pengiklanan di negara ini.

Lebih mendukacitakan, struktur binaan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak PBT malah tidak membayar pula cukai taksiran selain tidak mendapatkan permit iklan.

Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Mas Midyawan Yahya berkata, dalam satu operasi yang dijalankan pihaknya di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dari Plaza Tol Ainsdale ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban baru-baru ini, sebanyak 26 notis iklan tidak berlesen telah ditampal pada billboard yang terlibat.

Sementara itu, Aminuddin menambah, kerajaan negeri akan membuat tindakan penyelarasan di antara PBT dan pejabat tanah supaya tindakan dapat diambil bagi membendung isu papan iklan haram tersebut.

“Setakat ini kita tampal notis dan pengiklan ini akan dihubungi untuk menyertai bengkel bagi memudah cara pengiklanan. Mana-mana syarikat pengiklanan yang kita tahu ini akan dihubungi dan dipanggil untuk kita ‘putihkan’, jika (struktur) tidak selamat, akan dirobohkan.

“Kalau tidak selamat akan diroboh tetapi kalau selamat, tuan tanah akan dapat hasil, PBT dapat hasil, pengiklan juga dapat hasil. Namun, ia juga mesti mematuhi kriteria pengiklanan yang baik dan dibenarkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya