Padah terima rasuah RM500, pengurus didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Padah terima rasuah RM500, pengurus didenda RM10,000

MOHD. Yazil. Elham Mohamed @ Yahya (pakai topi) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus perolehan di Pos Logistics Berhad (PLB) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah diberi rasuah berjumlah RM500, dua tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd. Yazil Elham Mohamed@Yahya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh yang merupakan pengusaha resort di Dabong, Kelantan gagal membayarnya.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Mohd. Yazil, 48, didakwa diberi rasuah berjumlah RM500 oleh seorang individu melalui akaun simpanan Maybank milik isterinya dan dia gagal melaporkan pemberian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bapa kepada dua orang anak termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) itu turut berhadapan satu pertuduhan utama iaitu didakwa telah menerima rasuah RM500 melalui akaun Maybank milik isterinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16a(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kesemua kesalahan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan kerja-kerja ‘Transfer rice from vessel to designated Bernas project from Port Klang to Bernas Warehouse‘ bernilai RM3.8 juta di sebuah bank di Seksyen 14, Petaling Jaya pada 17 April 2020.

Dalam mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, peguam-peguam bela, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dan Ainur Rabiatuadawiyah Hassim memohon hukuman ringan dan denda yang rendah dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira pengakuan bersalah pada pertuduhan kali pertama telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Selain itu, tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang baik selain telah mengambil tanggungjawab penuh dengan menyerah surat perletakan jawatan dan berhenti kerja pada 12 Jun 2020.

“Tertuduh amat menyesal dan insaf serta berakujanji tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Bagaimanapun, kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Noryusriza Zulkifli dan pegawai pendakwa, Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon mahkamah melihat kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman.

“Kesalahan rasuah merupakan satu kesalahan serius yang telah merosakkan masyarakat secara diam.

” Perbuatan ini juga dilihat boleh menyebabkan berlaku monopoli dan menafikan hak-hak syarikat yang lain,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya