SEREMBAN: Sebanyak 254 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di dua lokasi di daerah ini malam semalam.
Kesemua saman tersebut membabitkan pelbagai kesalahan dengan penggunaan nombor plat fancy antara kesalahan tertinggi dikesan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, sebanyak 73 saman dikeluarkan atas kesalahan nombor plat fancy diikuti kesalahan tiada lesen sebanyak 54 saman dan cermin sisi (52).
Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Persiaran Senawang 1 dan di Jalan Rasah itu, dua individu bersama dua motosikal ditahan.
“Seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan bersama sebuah motosikal selepas melakukan aksi willy dengan gaya mengangkat tayar hadapan di lampu isyarat pasar raya Giant, Senawang.
“Seorang lagi lelaki berusia 26 tahun ditahan bersama motosikalnya yang ditunggang di lokasi Jalan Rasah, Seremban kerana melakukan kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafiei berkata, secara keseluruhannya, seramai 153 individu dan 132 buah motosikal diperiksa dalam operasi yang berakhir kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut serta akan dipohon reman hari ini dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.










