Normala bidas tuduhan warganet didakwa tak pedulikan ibu di kampung - Utusan Malaysia

Normala bidas tuduhan warganet didakwa tak pedulikan ibu di kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bekas pengacara dan personaliti televisyen terkenal tanah air, Puan Seri Normala Samsudin, 58, menjawab tuduhan segelintir pihak yang menyangka dia sengaja meninggalkan ibunya di kampung demi untuk hidup di bandar.

Menurut Normala, tuduhan seperti itu sangat tajam sehingga membuatkan dirinya tersentuh sementelah memikirkan terdapat warganet yang terlalu mudah menghukum dalam kedangkalan akal.

“Hati saya tersentuh. Tidak tidur malam kerana ada komen tajam dari netizen. Ramai komen neutral, namun ada orang yang komen tajam, sinikal dan dangkal. Saya akan sentiasa bersangka baik walaupun sakit.

“Saya jawab di sini demi memuaskan hati saya yang runsing dengan andaian dan buruk sangka itu. Pertama, Jika hantaran mengenai ibu dan keluarga saya ada tanda-tanda riak dan menunjuk-nunjuk, saya mohon jangan ikut contoh itu, moga Allah ampuni saya.

“Saya tidak berniat begitu, malah dengan harapan contoh yang baik dijadikan teladan. Kedua, saya tidak pernah tinggalkan ibu di kampung dan saya duduk di bandar kerana itu kampung keturunan mak dan nenek moyang saya. Pilihan emak untuk hidup bahagia di kampung,” katanya.

Normala berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya kelmarin.

Ia dipercayai bagi mengulas mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh segelintir netizen yang menyangka dia sengaja meninggalkan ibunya hidup di kampung.

Selain itu, kata Normala, dia menghormati keputusan ibunya yang tetap mahu menetap di kampung kerana kelaziman orang tua yang sukar untuk berpisah dengan tanah dan tempat sendiri.

“Pilihan emak juga kita kena hormati kerana dia selesa dengan ayam itik dan segala ternakannya, dia bahagia sunyi di kampung beramal ibadah.

“Emak saya benci bandar apatah lagi kesibukan dan hiruk-pikuk kota. Jadi, soal saya tidak peduli emak saya itu fitnah! Sedih dan pahit sekali salah satu tuduhan netizen ini.

“Ketiga, Saya tak perlu raih kejar ‘likes’ atau ‘followers’ sebab saya sedar diri , saya bukan berniaga, bukan influencer, bukan selebriti lagi, saya tak perlu semua itu, ini adalah diari saya, untuk mereka yg kenal saya, mereka yang faham erti silaturahim dan pengetahuan tentang sahabat yang baik dan bersangka baik,”katanya.

Dalam pada itu, kata Normala lagi, dia juga tidak mahu menerima pujian atau simpati kerana baginya, pujian cuma untuk Yang Maha Pencipta.

“Hanya Dia yang berhak menerima pujian. Segala kejelekan yang rasa sakit dimata tentang hantaran dibuat, saya mohon maaf. Mungkin satu hari nanti saya akan undur diri dari dunia maya ini, hanya saya dan mereka yang baik-baik saja memahami. Allah jua tempat saya berlindung, dan berserah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya