PUTRAJAYA: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sepanjang tahun lalu menyaksikan sejumlah 73 kes direkodkan di seluruh Semenanjung dengan Johor paling tinggi iaitu sebanyak 20 kes.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), ia diikuti Selangor dengan 11 kes, Pahang dan Kelantan (masing-masing 10 kes), Negeri Sembilan (lapan), Perak (enam), Kedah dan Pulau Pinang (masing-masing tiga) serta Terengganu (dua).
“Selebihnya iaitu Perlis, Melaka serta Kuala Lumpur dan Putrajaya pula tiada sebarang kes dengan 12 siri OBK dilaksanakan sepanjang tahun lepas. Operasi dilancarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada 3 September 2019 untuk membanteras pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar tanpa permit yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.
“Meskipun baru diperkenalkan, OBK sudah meraih Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 dianjurkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 17 Februari 2021,” jelas jabatan itu.
Perhilitan memaklumkan, seramai 133 pesalah ditahan dan didakwa di mahkamah tahun lalu dengan 121 individu daripadanya merupakan penduduk tempatan selain lima rakyat Kemboja, empat lagi Myanmar serta masing-masing seorang warga Indonesia, Pakistan dan Thailand dengan melibatkan 75 kertas siasatan.
OBK yang merupakan sebahagian Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti atau BP3 turut merekodkan rampasan hidupan liar dengan nilai berjumlah RM31.9 juta pada tahun lalu dengan 303 jerat haram dimusnahkan manakala 59 khemah pendatang asing tanpa izin dikesan menerusi operasi tersebut.
Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.










