KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Mei ini bagi mengetahui perkembangan sama ada kes saman Kerajaan Malaysia terhadap National Feedlot Corporation (NFC), diselesaikan di luar mahkamah atau diteruskan dengan perbicaraan.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk menyambung perbicaraan namun prosiding ditangguhkan ekoran NFC mengemukakan hasrat agar kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai kemudian menetapkan 17 hingga 20 Mei ini untuk perbicaraan jika penyelesaian tidak dapat dicapai daripada kedua-dua pihak.
“Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail yang merupakan saksi kedua defendan akan memberi keterangan pada 17 Mei nanti jika perbicaraan diteruskan,” katanya yang mewakili kerajaan ketika ditemui pihak media di luar mahkamah sejurus selesai bersidang.
Perbicaraan kes saman itu bermula pada 13 Januari 2020 selepas mahkamah mendengar keterangan tujuh saksi plaintif.
Dalam saman itu, Kerajaan Malaysia menuntut NFC membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Syarikat NFC diuruskan oleh Mohamad Salleh iaitu suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan tiga anaknya.
Dalam tuntutannya, Kerajaan Malaysia selaku plaintif menamakan NFC sebagai defendan pertama, Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.
Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd., Real Food Corporation Sdn. Bhd., Meatworks Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., Asian Bioscience Corporation Sdn. Bhd. dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn. Bhd.
Menurut pernyataan tuntutan, kerajaan menandatangani perjanjian dengan NFC pada 6 Disember 2007 dengan memberi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional.
Perjanjian itu selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.
Pinjaman disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.
Daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional.
Baki daripada dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.
Sebanyak RM9.76 juta didakwa disalahgunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence yang didakwa dilakukan oleh defendan keenam, National Meat & Livestock Corp.
Sebanyak RM300,000 pula didakwa digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bernama Shamsubarin Ismail bagi tujuan yang tidak didedahkan dan sebanyak RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.
Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara.
Dana itu didakwa digunakan untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya, bayaran kepada dua firma guaman dan membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara.










