PETALING JAYA: Wisma Putra dan Kementerian Pengangkutan akan menyenaraikan beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Thailand dalam senarai Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL)
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, setakat ini beberapa inisiatif telah dimulakan dengan negara terlibat termasuk mengadakan perbincangan.
Namun katanya, Malaysia tetap menggunakan pendekatan membuka pintu sempadan secara berperingkat dan selamat bagi mengelakkan peningkatan kes penularan Covid-19.
“Keputusan buka sempadan tidak hanya bergantung kepada situasi pandemik di negara kita semata-mata. Sebaliknya ia banyak bergantung kepada hubungan kita dengan negara destinasi atau negara yang mungkin ingin adakan hubungan bilateral untuk melihat situasi penularan Covid-19.
“Ini kerana ia merupakan cara terbaik buat masa ini iaitu menggunakan VTL. Setakat ini kita dah mula berbincang dengan Indonesia dan Thailand,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ke-11 Menteri Kuartet Covid-19, hari ini.
Dalam pada itu Hishammuddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) berhubung perayaan Thaipusam yang bakal disambut 17 Januari dan perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari depan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh kementerian berkaitan.
Katanya, pihak berkepentingan bersama Kementerian Kesihatan telah duduk semeja dalam mesyuarat bagi membuat penelitian peringkat akhir SOP Thaipusam dan menyelaras SOP Tahun Baharu Cina.
“Seperti saya maklumkan sebelum ini, antara fokus dan keutamaan kuartet adalah untuk meneliti majlis-majlis yang berkait rapat dengan keagamaan.
“Ini kerana ia sememangnya penting buat penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.
“Perbincangan sebentar tadi berjalan dengan amat baik dan SOP bersesuaian sedang diteliti bersama oleh semua pihak berkepentingan,” jelas beliau.










