JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menempelak tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil sikap lepas tangan termasuk dalam isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Nur Jazlan berkata, pelantikan Tan Sri Azam Baki adalah salah satu episod kegagalan Muhyiddin selepas gagal menjalankan amanah sebagai Perdana Menteri ke-8 dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Katanya, kegagalan demi kegagalan yang dialami Muhyiddin itu jelas membuktikan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak layak lagi diberi sebarang tanggungjawab atau jawatan.
Kata Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPN dan Presiden Bersatu disebabkan kegagalan-kegagalan itu jika benar-benar berjiwa besar.
“Sudah cukup banyak kegagalan yang Muhyiddin alami, saya nasihatkan beliau baik berundur secara baik dan jangan tunggu orang turunkan dia. Bagi saya jika dia meletakkan jawatan sekarang ini, saya percaya rakyat akan puji tindakan berjiwa besar seumpama itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nur Jazlan memberitahu, sebagai pemimpin tertinggi dalam parti dan kerajaan, Muhyiddin seharusnya memikul penuh segala kegagalan itu dan bukannya menuding jari kepada orang lain.
Katanya, dalam keadaan negara yang belum stabil dan pulih sekarang ini, Malaysia memerlukan pemimpin-pemimpin yang bagus, efektif dan memiliki prestasi kerja cemerlang kerana hanya dengan cara itu sahaja Malaysia akan melalui proses pemulihan secara pantas.
“Semasa dia jadi Perdana Menteri dan gagal, dia salahkan UMNO. Masa dia meninggalkan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan bersama Pakatan Harapan (PH), dia salahkan UMNO.
“Masa dia tumbangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pun dia salahkan UMNO. Dalam kes pelantikan Azam Baki pun dia salahkan orang lain lagi untuk tutup kesalahannya.
“Tindakan mengelak tanggungjawab dan menyalahkan orang lain ini memang karakter utama beliau sebagai Perdana Menteri, Presiden Bersatu dan Pengerusi MPN yang gagal,” ujarnya. – UTUSAN